ARKIB : 18/04/2000
KANGAR 17 April - Jenazah
Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail selamat dimakamkan dengan penuh
istiadat di Makam Diraja Arau pukul 3.52 petang ini.
Almarhum ialah Raja Perlis yang
pertama disemadikan di makam yang terletak di pinggir Sungai Arau itu.
Mufti Kerajaan Negeri, Datuk
Alim Panglima Mat Jaya Hussin, membacakan doa pada pemakaman itu.
Terdahulu jenazah baginda
dibawa keluar dari Istana Arau menuju Masjid Negeri yang terletak kira-kira 300
meter dari situ untuk disembahyangkan selepas masuk waktu zuhur.
Kerabat diraja dan para
pembesar menyertai ribuan rakyat jelata menunaikan sembahyang jenazah yang
diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri.
Jenazah baginda kemudiannya
ditarik dengan kenderaan khas oleh para pegawai tentera ke Makam Diraja Arau
yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid itu untuk dimakamkan.
Tuanku Syed Putra, 79, mangkat
di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.20 petang
semalam setelah dirawat di situ sejak 21 Mac lalu.
Almarhum merupakan raja yang
paling lama memerintah.
Semasa hayatnya, baginda telah
melalui pelbagai pengalaman yang tidak ternilai dalam lipatan sejarah negara,
termasuk zaman penjajahan dan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan.
Keseluruhan raja-raja Melayu,
termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Sultan
Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah menziarahi jenazah Almarhum Tuanku
Syed Putra di Balairung Seri Istana Arau.
Sultan Kedah, Sultan Perak,
Pemangku Raja Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Mahkota
Johor, Sultan Pahang, Sultan Terengganu dan Sultan Kelantan juga berangkat
hadir.
Yang Dipertua Negeri Pulau
Pinang, Tun Hamdan Sheikh Tahir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Zaidi
Addruce serta Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai turut tiba
memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah baginda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga hadir
memberikan penghormatan bersama-sama beberapa menteri kabinet dan Menteri
Besar.
Juga hadir ialah Presiden Dewan
Perniagaan Melayu Malaysia, Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengerusi Renong, Tan Sri
Halim Saad.
Sejak malam tadi, ribuan rakyat
turut memberikan penghormatan dengan menziarahi jenazah baginda di istana
apabila dibawa pulang dari Kuala Lumpur.
Jenazah diusung keluar dari
Istana Arau pada kira-kira 1.40 petang sejurus selepas istiadat pemasyhuran
pelantikan Raja Perlis yang diiringi tembakan meriam tiga das sebagai tanda
penghormatan.
Upacara sembahyang jenazah di
Masjid Negeri Arau diimamkan oleh Mufti Negeri, Datuk Alim Panglima Mat Jahya
Husin.
Sementara itu ribuan rakyat
jelata membanjiri jalan raya dan sekitar makam yang bertentangan dengan masjid
itu untuk menghormati dan melihat istiadat pemakaman yang berlangsung sebaik
sahaja jenazah dibawa ke makam pada pukul 2.30 petang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4THNsUgXF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan