Rabu, 21 Disember 2016

Rumah Kedai popularkan Yusof

ARKIB : 15/05/2000
Tetapi namanya diperkatakan selepas muncul dalam filem Panas arahan Nurhalim Ismail yang diklasifikasikan sebagai filem 18SX. Watak bomoh yang dianiaya kuasa ilmu hitam bekas isterinya menjadi bualan hangat.

Itulah Allahyarham Yusof Mohamad yang meninggal dunia malam kelmarin akibat serangan sakit jantung. Kemunculan Allahyarham dalam dunia lakonan agak berbeza dengan pelakon lain.

Allahyarham menjadi pelakon sejak sepuluh tahun lalu dan dikenali menerusi Rumah Kedai. Ketika itu Allahyarham bukanlah pelakon remaja tetapi popularitinya mengatasi sesetengah pelakon remaja.

Dalam karier lakonannya, Allahyarham berpeluang berkerja dengan beberapa pengarah hebat di negara ini. Antaranya ialah Nurhalim Ismail dan Adman Salleh.

Adman telah memberi peluang kepada Allahyarham untuk berlakon dalam drama Cindai yang diadaptasi daripada naskhah teater karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan.

Walaupun dalam Rumah Kedai watak sebagai orang tua pemilik kedai kurang mencabar, Cindai memberikan sesuatu yang baru dalam kariernya. Sebagai pelakon utama Cindai semacam memberi sinar baru sekali guas membuktikan kebolehannya.

Malah sebagai bomoh yang dianiayai dengan kuasa ilmu hitam bekas isterinya, Allahyarham kelihatan telah keluar jauh daripada Rumah Kedainya.

Sekalipun wataknya mengundang kontroversi apa lagi terdapat adegan-adegan "panas'' dengan isteri mudanya tetapi Allahyarham mempunyai persepsi yang lain.

Dalam satu temubual tidak lama selepas filem itu ditayangkan tiga tahun lalu, Allahyarham berkata, yang kelihatan "panas'' adalah senario keseluruhan filem itu.

Tetapi Allahyarham tidak pernah merasa telah melakonkan satu watak yang menjatuhkan moralnya sebaliknya gembira kerana watak itu mendapat reaksi daripada penonton.

Dalam dunia lakonan tempatan, kehadiran pelakon seperti Allahyarham barangkali yang terakhir kerana banyak yang bermodalkan wajah daripada bakat berlakon.

Malah Allahyarham kelihatan mampu memisahkan antara fantasi di depan layar dengan realiti kehidupan sehariannya. Peminat hanya mengenali Allahyarham kerana wajahnya yang selalu terpampang di TV tetapi bukan penampilan di depan khalayak yang "luar biasa''.

Allahyarham bebas menjalani kehidupan biasa walaupun dikenali sebagai pelakon popular. Allahyarham bebas minum teh di warung atau ke mana sahaja. Tetapi ini sukar bagi pelakon popular lain kerana dunia fantasi dan realiti mereka telah bercampur baur. - KU SEMAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz4TTo8UaMA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan