Selasa, 4 April 2017

Tuanku Bahiyah mencurah bakti untuk kebajikan



ARKIB : 27/08/2003
Oleh Sopha Sulaiman (Wartawan Utusan) Seluruh rakyat Kedah Darulaman dan Malaysia amnya merasa terharu serta sedih dengan kemangkatan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tengah hari semalam, 26 Ogos 2003 bersamaan 28 Jamadilakhir 1424 Hijrah.

Almarhumah Tuanku Bahiyah mangkat di Istana Kuala Cegar, Alor Star, pada pukul 12.23 tengah hari. Baginda berusia 73 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang membuat pengumuman kemangkatan itu di Wisma Darul Aman, berkata Almarhumah Sultanah Kedah mangkat setelah gering selama seminggu.

Tuanku Bahiyah mangkat hanya dua hari selepas ulang tahun baginda. Almarhumah dilahirkan pada 24 Ogos 1930.

Sultanah dijadual menghadiri majlis sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang diraikan pada jamuan amal Yayasan Sultanah Bahiyah di Wisma Darulaman, Alor Star Ahad lalu, tetapi oleh kerana keuzuran, majlis itu tidak dapat diadakan.

Pemergian baginda bukan sahaja satu kehilangan kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, anakanda baginda, Tunku Intan Safinaz dan Tunku Soraya serta kerabat-kerabat diraja, tetapi juga seluruh rakyat jelata.

Ini kerana baginda amat disayangi dan disenangi rakyat semenjak menjadi Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959, iaitu kira-kira 44 tahun.

Sepanjang tempoh itu termasuk semasa menjadi Raja Permaisuri Agong pada 1970 hingga 1975, baginda sering mengiringi Tuanku Abdul Halim ke majlis-majlis rasmi dan turun mencemar duli untuk bermesra dengan rakyat.

Malah sepanjang tahun, baginda aktif dalam projek sosial dan mempunyai atur cara bersama rakyat dalam pelbagai majlis yang dijalankan oleh perkumpulan-perkumpulan wanita dan badan-badan kebajikan seperti menyerahkan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

Baginda juga merupakan pengasas kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), sebuah badan yang menjalankan projek-projek amal untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik, orang kurang upaya, bantuan perubatan dan bencana serta berperanan meningkatkan pendidikan pelajar di luar bandar.

YSB diperbadankan pada 20 Ogos 1996, ditadbir oleh ahli lembaga amanah yang diterajui oleh anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Penaung

Selain itu Almarhumah Tuanku Bahiyah menjadi penaung beberapa organisasi seperti Persatuan Bola Jaring Negeri Kedah, Persatuan Orkid Negeri Kedah, Persatuan Derma Darah Negeri Kedah, Persatuan Perancang Keluarga, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Darulaman.

Kegemaran baginda bermain golf, badminton, piano, menggubah bunga, tanaman orkid, melukis dan membaca.

Almarhumah Tuanku Bahiyah diputerakan di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Baginda merupakan puteri sulung Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Agong yang pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Baginda kemudian berkahwin dengan Tuanku Abdul Halim pada Mac 1956 dan dilantik sebagai Sultanah Kedah empat tahun kemudiannya.

Tuanku Bahiyah dan Tuanku Abdul Halim mempunyai tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Intan Safinaz.

Almarhumah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sri Menanti dan Sekolah Convent Seremban sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kemasyarakatan di Universiti Nottingham England pada 1951 hingga 1954.

Pada 21 September 1970, baginda ditabalkan menjadi Raja Permaisuri Agong apabila Sultan Kedah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima Malaysia.

Selain pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Ikatan Perkhidmatan Perempuan dan Perkumpulan Perempuan Kedah, Almarhumah juga dilantik oleh ahli jemaah Universiti Malaya sebagai Canselor universiti itu pada tahun 1972 hingga 1986.

Tuanku Bahiyah dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Mulia Kedah (1964), Darjah Kelas Pertama Khazanah Suci oleh Seri Maharaja Jepun (1970), Bintang Maha Putra Kelas Satu oleh Presiden Suharto (1970), Darjah Utama Seri Mahkota Negara (1971), Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan oleh Universiti Malaya (1979) dan Anugerah Kerabat Kelas Pertama (Johor) pada 1989.

Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh baginda. Al-Fatihah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4dICdHbzn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan