ARKIB : 18/11/2002
BAGI generasi muda hari ini, nama
Ramli Ahmad mungkin mulai luput atau tidak lagi dikenali mereka.
Kelmarin, atlet veteran dan bekas
jaguh pecut negara berasal dari Sabah itu menghembuskan nafas terakhirnya pada
usia 47 tahun di Hospital Kerajaan Labuan.
Sebenarnya Allahyarham Ramli
merupakan nama besar dalam lapangan olahraga negara. Cuma keterampilannya sudah
begitu lama ditelan zaman.
Bagi kebanyakan generasi muda
hari ini, mereka mungkin lebih mengingati nama atlet pecut seperti Datuk Dr. M.
Jegathesan, Rabuan Pit, Watson Nyambek, Azmi Ibrahim atau beberapa nama
lainnya.
Apapun, Ramli berada dalam
kelasnya yang tersendiri ketika mengharumkan nama negara.
Sumbangan terbesar Allahyarham
ialah rekod kebangsaan bagi acara 200 meter dengan catatan tangan 20.7 saat di
Sumatera pada 1977, yang sehingga kini masih bertahan selama 25 tahun.
Dia merupakan atlet negara yang
bertanding pada Sukan Olimpik di Montreal pada 1976 dengan beberapa temasya
lainnya pada sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur dan 1979 di Jakarta.
Dia juga bertanding pada sukan
Asia 1978 di Bangkok.
Dalam usianya yang sudah
menjangkau 47 tahun, Allahyarham tetap giat membabitkan diri dalam sukan dengan
menyertai temasya veteran anjuran Persatuan Atlet Veteran Malaysia (MAVA).
Berita kematiannya kelmarin tentu
mengejutkan bagi para peminat sukan tanahair kerana dalam usia yang masih mampu
menyumbang khusus mengenai kepakaran dalam sukan itu, Ramli terlebih dahulu
meninggalkan kita semua.
Tekong terpanggil untuk mengenang
jasa besar atlet ini selepas mendapat panggilan telefon seorang rakan, yang
juga Setiausaha MAVA, S. Sivapragasam mengenai kematiannya petang kelmarin.
Allahyarham dikatakan pengsan
selepas berjogging pada jam 5.45 petang kelmarin.
Menurut Sivapragasam, Allahyarham
merupakan seorang yang suka merendah diri dan begitu disenangi ketika menyertai
aktiviti-aktiviti anjuran MAVA.
Allahyarham yang berkhidmat
dengan Penerbangan Malaysia (MAS) meninggalkan seorang balu, Latifah Jamil
serta empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan.
Menurut Sivapragasam, kematian
Ramli merupakan satu kehilangan besar buat sukan tanahair kerana pada usia 47
tahun beliau masih aktif dalam sukan dan muncul naib juara ketika bertanding
pada Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Malaysia (veteran) dalam acara lompat
tinggi.
Ketika di penghujung kariernya,
Ramli pernah diberi penghormatan dalam larian obor Sukan SEA XXI di Labuan,
tahun lalu. Beliau merupakan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Labuan.
Kehilangannya tentu akan terasa
dan bagi atlet muda, sumbangan serta sifat semulajadi Allahyarham seharusnya
dijadikan contoh terbaik.
Hanya satu yang membuat Tekong
terkilan ialah apabila tidak berpeluang bertemu Ramli secara dekat kecuali
mendengar cerita dari rakan-rakan veteran atau kehebatan dizaman
kegemilangannya menerusi keratan akhbar.
Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Al-Fatehah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cP1scyLV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan