Isnin, 4 Disember 2017

Pak Samad meninggal dunia

ARKIB : 04/09/2008
04/09/2008 6:46pm

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 6.35 petang ini kerana jangkitan paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan sepanjang tempoh itu terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan. - Utusan
sUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz50Ltt00s7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 27 Oktober 2017

Tan Sri Murad meninggal dunia



ARKIB : 22/01/2008
22/01/2008 11:33pm
Metra Syahril Mohamed
Allahyarham Murad Mohd. Nor

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohd. Nor, 77, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Gleaneagles, Ampang, malam ini.

Anak sulungnya, Dr. Shanaz Murad berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.10 malam.

“Bapa saya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

“Jenazahnya akan dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Penaga, Kepala Batas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di hospital itu di sini malam ini.

Allahyarham merupakan bekas Pengarah Pendidikan dari 1976 hingga 1985 dan jawatan terakhirnya ialah Naib Presiden Universiti Islam Antarabangsa dari 1992 hingga 1995.

Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Diploma dalam Pendidikan dari Universiti Malaya.

Pada 1990, Allahyarham pernah dianugerahkan Doktor Kehormat Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika dihubungi menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar terhadap dunia pendidikan negara.

Menurut beliau, ini kerana Allahyarham dilihat sebagai individu yang banyak memperjuangkan dasar bagi memartabatkan pendidikan negara.

“Salah satu usaha Allahyarham yang tidak boleh dilupakan adalah mengangkat kedudukan sekolah agama di negara ini supaya sebaris dengan sekolah-sekolah lain yang terbaik di dunia,” jelasnya.

- Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm#ixzz4whEe8mK7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 6 Mei 2017

Kehilangan Norizman amat dirasai

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
  
ZAQHWAN amat terasa kehilangan rakan karib, Norizman yang meninggal dunia di Hospital Kemaman kelmarin.

PELUMBA negara, Mohd. Zaqhwan Zaidi mengakui, kehilangan rakan seperjuangan, Norizman Ismail yang maut selepas terjatuh ketika sesi ujian masa kelas CP150 pada pusingan ketiga kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia 2017 di Bandar Baru Kijal, Kemaman kelmarin memberi kesan sangat mendalam.

Jelasnya, Norizman merupakan antara pelumba senior yang tidak kedekut dengan ilmu dan sering memberi tunjuk ajar ketika dia berjinak-jinak melangkah ke arena Cub Prix beberapa tahun lalu hingga hubungan mereka menjadi akrab.

“Secara jujur, saya masih tidak boleh menerima berita kehilangan Norizman kerana insiden tersebut berlaku terlalu pantas. Saya telah lama bersahabat dengannya sejak lima tahun lepas dan menganggapnya sebagai abang sendiri. Banyak kenangan manis dan pahit yang kami lalui bersama.

“Pada saya, kami kehilangan seorang pelumba yang memiliki sikap dan semangat positif. Ia wajar dicontohi pelumba-pelumba muda dan kehilangannya sangat dirasai khususnya dalam arena permotoran negara.

“Perasaan saya ketika ini seperti baru semalam berkonvoi dengan Norizman yang ketika itu kelihatan menunjukkan kelainan daripada segi perwatakan. Dia nampak lebih tenang daripada biasa,” kata Zaqhwan ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, bekas pelumba Cub Prix, Azlan Shah Kamaruzaman mengakui, dia masih mengingati Norizman sebagai bekas rakan sepasukannya ketika mewakili pasukan Y-TEQ SCK Honda Racing selama dua musim bermula pada edisi 2012.

“Memang saya masih terkejut ketika ini dan berharap agar seluruh keluarganya tabah menghadapi dugaan. Secara peribadi, dia (Norizman) merupakan pelumba berpengalaman dan sering mengajar saya bagaimana untuk memperbaiki jentera daripada aspek teknikal,” kata bekas pelumba Moto2 itu.

Sebagai rekod, Norizman yang mewakili pasukan ONEXOX TKKR Racing dalam kelas CP150 disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman kelmarin selepas terjatuh di selekoh satu litar terbabit.

Ekoran tragedi tersebut, pihak penganjur memutuskan untuk membatalkan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung semalam bagi memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Ini merupakan kali kedua insiden maut menimpa pelumba negara pada saingan Cub Prix selepas Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia akibat kemalangan pada tahun 1999.

Saingan Cub Prix akan diteruskan semula pada pusingan keempat yang dijadualkan berlangsung di Teluk Intan pada 20 hingga 21 Mei depan.

Selepas dua pusingan, Norizman menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan mengutip 26 mata, ketinggalan 3 mata di belakang pelumba Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Adib Rosley, manakala jaguh Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin mengungguli carta dengan 50 mata

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gLi2szUu
Hakcipta terpelihara

Selasa, 25 April 2017

T. Alias Taib - Perginya penyair alam

ARKIB : 19/08/2004
Belasungkawa
Oleh AZMAN ISMAIL
(Wartawan Utusan)
DUNIA kepenyairan tanah air sekali lagi kehilangan aktivis dan pejuangnya berikutan pemergian Tengku Alias Taib (T. Alias Taib) yang terkenal sebagai penyair alam, romantik dan humanis.
Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas menunaikan solat Maghrib di rumahnya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur semalam.
T. Alias dilahirkan di Kampung Padang Engku Sar, Batas Baru, Kuala Terengganu pada 20 Februari 1943 dan mendapat pendidikan tinggi Pusat Latihan Perguruan Kuala Terengganu dari tahun 1960 hingga 1962.
Setelah tamat latihan guru, beliau mengajar di beberapa buah sekolah kebangsaan termasuk Sekolah kebangsaan Sungai Rengas, Kuala Terengganu (1963-1967), Bukit Besi (1971-1973) dan Teluk Pasu, Kuala Terengganu (1973-1974).
Mulai 1974, Allahyarham berpindah ke Kuala Lumpur dan mengajar di beberapa sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat dan Sekolah Rendah Kebangsaan (L) Jalan Batu.
Penglibatan Allahyarham dalam dunia kesusasteraan bermula pada 1964 setelah puisi Persembahan dan cerpen pertamanya, Dunia Pelayan masing-masing tersiar di dalam majalah Angkatan Baru edisi Oktober 1964 dan Mac 1965.
Namun, dalam dunia kesusasteraan, genre puisi lebih menjadi pilihan Allahyarham.
Ia terbukti apabila pada 1972, beliau menerbitkan sendiri kumpulan puisinya, Laut Tak Biru Di Seberang Takir pada 1972 yang memuatkan 44 sajak.
Antara karya-karya lain Allahyarham ialah Angin dan Badai (antologi bersama, 1975), Kuala Lumpur (antologi bersama, 1975), Pemburu Kota (1978), Tinta Pena (antologi bersama, 1981), Pertemuan (antologi bersama, 1982), Bunga Gerimis (antologi bersama, 1986).
Karya-karya lain Allahyarham ialah Bintang Mengerdip (antologi bersama, 1984), Seberkas Kunci (1985) dan Puisirama Merdeka (antologi bersama, 1986)
Dalam kegiatan badan penulis tanah air, Allahyarham merupakan salah seorang pengasas Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (Pelita) dan ahli Persatuan Penulis Nasional (Pena).
Beliau pernah dilantik sebagai Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1998 hingga 2000 dan terpilih mewakili Malaysia untuk mengikuti kursus penulisan kreatif di Taiwan pada tahun 2001.
Dalam proses kreatifnya, Allahyarham sering bercerita tentang ketuhanan, keindahan alam, kemiskinan dan kasih sayang dengan nada gelisah dan tertindas tetapi dengan jalinan metafora yang menarik.
Seringkali, Allahyarham mengingatkan khalayak tentang gaya humanisme dan romantik seperti disuarakan oleh Naquib Mahfouz, Pablo Neruda atau penyair Indonesia seperti W.S Rendra, Goenawan Muhamad, Bur Rasuanto dan Subagio Sastrowardoyo.
Seperti pernah diungkapkan oleh Sasterawan Negara Allahyarham Dr. Usman Awang, ``untuk menjiwai bahasa dan gaya romantisme dalam puisi moden Malaysia, selamilah sajak-sajak T. Alias Taib''.
Namun, kini tokoh yang telah mengabdikan diri dalam dunia kepenyairan tersebut telah tiada. Tidak akan kedengaran lagi lantunan puisi tentang rumah kilat, setinggan, Pasar Chow Kit atau erti kemanusiaan di sebalik lorong-lorong gelap di ibu kota.
Khalayak juga tidak mungkin lagi dapat membaca sajak-sajak tentang kelesuan Sungai Klang dan Gombak atau suara-suara protes gagak terhadap manusia di sekitarnya.
Sementara itu, keindahan pada kebanyakan puisi-puisi Allahyarham tidak bergantung kepada objek yang dilukiskan tetapi cara pengucapan serta kesesuaian bentuk yang dipilihnya.
Allahyarham disebut sebagai salah seorang penyair yang tidak pernah bosan dengan eksperimen. Dengan bahasa yang ringkas dan mudah, beliau sentiasa cuba untuk menampilkan sesuatu yang baru.
Prof. Sapardi Djoko Damono, seorang ahli akademik dan penyair terkenal Indonesia mengungkapkan karya-karya Allahyarham merupakan jambatan antara tradisional dan moden dalam kesusasteraan nusantara.
Sejumlah besar puisinya lebih merupakan puisi pictorial yang menggambarkan satu kesan daripada peristiwa, objek atau imbasan rasa.
Namun begitu, puisi-puisinya berhasil memaparkan satu gaya baru yang kadang-kadang mencabar konvensi.
Itulah T. Alias Taib yang telah meninggalkan sejuta pesona kepada dunia sastera tempatan yang masih memerlukannya.

Rabu, 5 April 2017

Perginya seorang Tok Perak



ARKIB : 29/08/2003

Belasungkawa
Oleh Siti Rohayah Attan
(Wartawan Utusan)
DALAM sejarah Melayu, Tun Perak sinonim dengan nama seorang perwira yang gagah perkasa mempertahankan bumi Melaka daripada ancaman musuh. Dalam dunia televisyen, istilah Perak pula bagai menjadi milik Ahmad Marbawi apabila beliau berjaya menangani watak Tok Perak, seorang penjual ubat yang bijaksana. Dua watak ini mempunyai peranan tersendiri dalam dokumentasi sejarah.

Bermula dengan slot Drama Minggu Ini kemudian menjadi drama bersiri, Tok Perak mula meletakkan Ahmad Marbawi di tempat yang selesa dalam sejarah dunia seni. Siri karya Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan itu juga secara tidak langsung bagai meragut nama sebenar Ahmad Marbawi lalu digantikan kepada Tok Perak.

Kisah penjual ubat di stesen kereta api, Kuala Kangsar, Perak yang dijadikan idea untuk pementasan teater itu akhirnya menjadi lebih besar khalayaknya apabila menjadikan siri itu paling tinggi ratingnya di RTM apabila diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.

Malangnya, siri ini tidak kekal meskipun ada gesaan supaya ia disambung semula. Itu jugalah harapan Ahmad Marbawi atau nama sebenarnya Ahmad Merbawi Yaman Husin. Beliau pernah menyatakan bahawa Tok Perak adalah drama yang memiliki dunia tersendiri, yang belum pernah dilahirkan sebelum dan selepasnya. Ini disuarakan dalam satu majlis untuk meraikan Seniman Negara, Datuk Syed Alwi, awal tahun ini di Muzium Negara.

Saya masih ingat, dengan kerusi roda yang disorong oleh anaknya dan peluh berjejeran, beliau hadir ke majlis itu. Tanpa dipaksa dengan nafas yang mencungap, beliau terus bercerita tentang Tok Perak dan sejarah drama itu.

Sejarah tetap sejarah. Semalam, kira-kira pukul 4 petang, di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur, Ahmad Marbawi kembali ke rahmatullah setelah terlantar tenat selama seminggu. Sebelum ini, Allahyarham menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan asma sehingga menyebabkan beliau tidak mampu berjalan.

Bagaimanapun, kudrat yang diberikan itu masih dipergunakan dengan sebaik-baiknya termasuklah menghadiri beberapa majlis yang dekat dengan hatinya.

Beliau yang dilahirkan pada 16 November 1938 meninggalkan sejarah yang tidak mungkin terpadam dalam sejarah seni. Memang seniman yang mempunyai lima cahaya mata ini tidak pernah mendapat gelaran terhebat, namun beliau memberi warna kepada dunia seni dengan semangat juang yang tinggi.

Perjuangannya bukan sekadar dalam bidang seni malah aktif dalam politik sehingga pernah menjadi wakil peribadi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Dr. Suleiman Mohamed bagi Zon Datuk Keramat.

Seniman kelahiran Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak ini meninggalkan kenangan indah perkahwinan dengan isteri tercinta, Jaharah Sohor. Begitu juga kasih sayang terhadap putera puterinya Marliza, Marina, Marhaida, Marwizam dan Allahyarham Mohd. Hussein.

Bekas tentera British di Singapura pada 1955 hingga 1957 ini mula aktif dalam dunia drama dan filem pada tahun 1964 selepas menjadi buruh di Majlis Bandaran Ipoh dan guru sementara pada pertengahan 50-an.

Allahyarham pernah muncul dalam beberapa filem termasuklah Ranjau Sepanjang Jalan (1983), Dendam Dari Pusara (1983), Cikgu Sayang (1983), Ke Medan Jaya (1983), Puteri (1987), Memori (1992), Badai Mentera (1996) dan Raja Melewar (1997).

Drama yang menampilkan beliau sebagai pelakon termasuklah Tok Perak, Salem dan Afsan, Tangan, Kaduk, Wali dan Tonel Badut, Raja Laksamana Bentan dan Niat Si Ayah.

Di dalam politik Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan sejak 1974 termasuklah setiausaha, cawangan (10 tahun) dan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Titiwangsa dan Ketua UMNO Cawangan Pasar Datuk Keramat. Pada 1990-1991 pernah menjadi Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Titiwangsa dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Titiwangsa (1993).

Seniman ini juga aktif dalam Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan pernah menjadi penolong setiausaha (1993). Allahyarham dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 1993 dan PPM pada 1967.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4dMPbeFqo
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber

Selasa, 4 April 2017

Tuanku Bahiyah mencurah bakti untuk kebajikan



ARKIB : 27/08/2003
Oleh Sopha Sulaiman (Wartawan Utusan) Seluruh rakyat Kedah Darulaman dan Malaysia amnya merasa terharu serta sedih dengan kemangkatan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tengah hari semalam, 26 Ogos 2003 bersamaan 28 Jamadilakhir 1424 Hijrah.

Almarhumah Tuanku Bahiyah mangkat di Istana Kuala Cegar, Alor Star, pada pukul 12.23 tengah hari. Baginda berusia 73 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang membuat pengumuman kemangkatan itu di Wisma Darul Aman, berkata Almarhumah Sultanah Kedah mangkat setelah gering selama seminggu.

Tuanku Bahiyah mangkat hanya dua hari selepas ulang tahun baginda. Almarhumah dilahirkan pada 24 Ogos 1930.

Sultanah dijadual menghadiri majlis sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang diraikan pada jamuan amal Yayasan Sultanah Bahiyah di Wisma Darulaman, Alor Star Ahad lalu, tetapi oleh kerana keuzuran, majlis itu tidak dapat diadakan.

Pemergian baginda bukan sahaja satu kehilangan kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, anakanda baginda, Tunku Intan Safinaz dan Tunku Soraya serta kerabat-kerabat diraja, tetapi juga seluruh rakyat jelata.

Ini kerana baginda amat disayangi dan disenangi rakyat semenjak menjadi Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959, iaitu kira-kira 44 tahun.

Sepanjang tempoh itu termasuk semasa menjadi Raja Permaisuri Agong pada 1970 hingga 1975, baginda sering mengiringi Tuanku Abdul Halim ke majlis-majlis rasmi dan turun mencemar duli untuk bermesra dengan rakyat.

Malah sepanjang tahun, baginda aktif dalam projek sosial dan mempunyai atur cara bersama rakyat dalam pelbagai majlis yang dijalankan oleh perkumpulan-perkumpulan wanita dan badan-badan kebajikan seperti menyerahkan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

Baginda juga merupakan pengasas kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), sebuah badan yang menjalankan projek-projek amal untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik, orang kurang upaya, bantuan perubatan dan bencana serta berperanan meningkatkan pendidikan pelajar di luar bandar.

YSB diperbadankan pada 20 Ogos 1996, ditadbir oleh ahli lembaga amanah yang diterajui oleh anakanda baginda, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Penaung

Selain itu Almarhumah Tuanku Bahiyah menjadi penaung beberapa organisasi seperti Persatuan Bola Jaring Negeri Kedah, Persatuan Orkid Negeri Kedah, Persatuan Derma Darah Negeri Kedah, Persatuan Perancang Keluarga, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Darulaman.

Kegemaran baginda bermain golf, badminton, piano, menggubah bunga, tanaman orkid, melukis dan membaca.

Almarhumah Tuanku Bahiyah diputerakan di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Baginda merupakan puteri sulung Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Agong yang pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Baginda kemudian berkahwin dengan Tuanku Abdul Halim pada Mac 1956 dan dilantik sebagai Sultanah Kedah empat tahun kemudiannya.

Tuanku Bahiyah dan Tuanku Abdul Halim mempunyai tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Intan Safinaz.

Almarhumah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sri Menanti dan Sekolah Convent Seremban sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kemasyarakatan di Universiti Nottingham England pada 1951 hingga 1954.

Pada 21 September 1970, baginda ditabalkan menjadi Raja Permaisuri Agong apabila Sultan Kedah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima Malaysia.

Selain pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Ikatan Perkhidmatan Perempuan dan Perkumpulan Perempuan Kedah, Almarhumah juga dilantik oleh ahli jemaah Universiti Malaya sebagai Canselor universiti itu pada tahun 1972 hingga 1986.

Tuanku Bahiyah dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Mulia Kedah (1964), Darjah Kelas Pertama Khazanah Suci oleh Seri Maharaja Jepun (1970), Bintang Maha Putra Kelas Satu oleh Presiden Suharto (1970), Darjah Utama Seri Mahkota Negara (1971), Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan oleh Universiti Malaya (1979) dan Anugerah Kerabat Kelas Pertama (Johor) pada 1989.

Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh baginda. Al-Fatihah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4dICdHbzn
© Utusan Melayu (M) Bhd