ARKIB : 22/11/2001
Oleh Azman Anuar
(Wartawan Utusan)
RAJA BERJIWA RAKYAT... Itulah
ungkapan yang sering diberikan kepada Almarhum Yang di-Pertuan Agong, Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah
Alhaj. Perbezaan kedudukan darjat tertinggi di negara ini tidak pernah
memisahkan baginda dengan semua peringkat rakyat jelata.
Berdamping dengan rakyat,
memahami masalah mereka sudah menjadi minat dan amalan yang paling disenangi
oleh baginda. Malah, dalam keadaan tertentu yang menggugat kepentingan rakyat,
baginda sendiri sanggup melanggar protokol untuk turun mencemar duli dengan
menjadi `pendesak' dan orang tengah dalam usaha membela nasib mereka.
Sebagai seorang raja, baginda
berasa bertanggungjawab mengambil tahu masalah rakyat. Jika perlu, baginda akan
bertindak sebagai perunding dan memanjangkan kerumitan mereka kepada kerajaan
untuk tindakan selanjutnya.
Kesannya beberapa masalah
rakyat seperti isu tanah, perumahan, politik, sosial dan agama dapat diredakan
dengan campur tangan pihak istana ini. Perkara ini memang terbukti sewaktu
tercetusnya beberapa isu kontroversi yang melanda Selangor, negeri di bawah
pemerintahan baginda.
Sifat mesra baginda yang kerap
`turun padang' itu pula menyebabkan rakyat tanpa mengira taraf dan peringkat
umur tidak pernah melepaskan peluang untuk mendekati Seri Paduka setiap kali
ada kesempatan.
Almarhum pernah bertitah bahawa
tanpa rakyat tidak akan wujud raja.
Selaku Sultan Selangor selama
41 tahun, keramahan dan sikap terbuka Sultan Salahuddin memecah tradisi yang
mengongkong institusi raja di negara ini. Justeru ia menjadikan diri Seri
Paduka sebagai ketua negara yang amat disenangi dan disayangi oleh rakyat.
Sebagai Yang di-Pertuan Agong,
baginda tidak berasa puas-puas menasihatkan kerajaan dan rakyat supaya mematuhi
undang-undang, mengeratkan perpaduan antara kaum dan agama.
Rakyat yang mematuhi
undang-undang, taat kepada raja dan pemimpin dan bersatu adalah `harta' yang
penting bagi sesebuah negara. Titahnya, tidak ada gunanya undang-undang
sekiranya rakyat melanggarinya atau tidak mematuhinya.
``Jauhilah rasuah dan perkara
yang boleh menyakitkan hati orang ramai yang sentiasa mengharapkan kerjasama
dan bimbingan kita, serta berilah layanan yang sama kepada mereka yang
memerlukan perkhidmatan.''
Pagi semalam, kira-kira pukul
11.57, Yang di-Pertuan Agong telah mangkat pada usia 75 tahun. Almarhum
diputerakan di Istana Bandar Kuala Langat, Selangor pada 8 Mac 1926, hari
Isnin. Putera gehara yang tunggal ini adalah dari bondanya Yang Maha Mulia Raja
Jema'ah Raja Ahmad, Tengku Ampuan Selangor.
Almarhum ditabalkan sebagai
Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1999. Sultan Salahuddin Abdul Aziz
ditabal menjadi pemerintah dan Sultan Selangor pada 3 September 1960 selepas
kemangkatan ayahanda baginda di Istana Tetamu, Kuala Lumpur. Pada ketika itu
ayahanda baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua.
Sungguhpun Almarhum sudah
meninggalkan kita, namun jasa dan amanat baginda harus dihargai dan dikenang.
Semasa hayatnya, baginda
mengambil berat tentang ajaran agama Islam sambil menyifatkannya sebagai
benteng keteguhan keimanan dalam menghadapi apa juga gejala kehidupan terutama
di zaman moden ini.
Baginda juga pernah menyeru
supaya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini tidak
harus dibawa sehingga ke institusi masjid dan surau.
Baginda bertitah, umat Islam
harus menggunakan masjid dan surau untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t
dan bukan menjadikannya sebagai tempat perbalahan politik.
```Kesucian tempat beribadat
orang Islam melambangkan ketinggian martabat agama Islam sendiri dan
umat-umatnya, oleh itu janganlah ia dicemari oleh unsur-unsur yang boleh
melemahkan martabat itu,'' titah baginda dalam perutusan Aidilfitri 1420H.
Titah baginda, masjid bukanlah
tempat untuk membidas dan memburuk-buruk sesuatu pihak.
``Kita mencari perpaduan dan
bukannya perpecahan di kalangan umat Islam. Islam menuntut kita supaya
meningkatkan tali persaudaraan dan bertolak ansur di antara satu sama lain,''
titah baginda.
``Beta menyeru supaya dihentikan
aktiviti-aktiviti tersebut sebelum umat Islam di negara ini berpecah belah dan
seterusnya melemahkan perpaduan mereka.''
Hal yang diambil perhatian
berat oleh baginda ini tidak pelik kerana baginda sendiri adalah antara raja
yang kerap bersembahyang Jumaat di masjid-masjid yang berlainan setiap minggu,
terutama di seluruh negeri Selangor. Justeru masalah rakyat cepat disedari oleh
baginda.
Ke mana juga baginda berangkat,
Almarhum Yang di-Pertuan Agong tidak lupa menasihati rakyat terutama golongan
belia supaya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu bagi
menghadapi cabaran-cabaran di alaf baru.
Titah baginda, rakyat akan
ketinggalan jika gagal menguasai ilmu dan kecekapan dalam pelbagai bidang
seperti teknologi maklumat, Internet, ekonomi berasaskan pengetahuan
(K-ekonomi) dan dagangan elektronik (e-commerce).
Baginda juga mahu supaya rakyat
memupuk budaya kerja murni, berdisiplin, hormat-menghormati dan tidak
fitnah-memfitnah.
Almarhum juga menekankan betapa
rakyat berbilang kaum di negara ini harus terus memelihara perpaduan yang sedia
wujud terutama ketika negara dilanda krisis ekonomi atau politik.
Dalam menentukan negara ini
ditadbir dengan adil, Almarhum menasihatkan supaya kekayaan negara ini
dinikmati oleh semua golongan rakyat tanpa mengetepikan golongan kurang upaya,
wanita dan kanak-kanak.
Almarhum juga pernah menitahkan
kerajaan supaya menggunakan mandat yang diberikan oleh rakyat dengan jujur,
cekap dan dedikasi. Jangan melupai janji-janji pemimpin atau wakil rakyat
kepada rakyat. Mereka hendaklah sentiasa berdamping dengan rakyat dan merendah
diri.
``Sekiranya timbul masalah
semasa menjalankan tugas, mereka hendaklah berbincang, nasihat-menasihati dan
jangan sekali-kali melupakan Tuhan.''
Sebagai Sultan Selangor,
baginda mengambil berat hal orang Melayu. Baginda menasihat orang kampung
supaya jangan mudah menjual tanah mereka untuk membeli saham kerana ia belum
tentu menjamin keuntungan. Sebaliknya baginda mengingatkan orang kampung agar
berjimat cermat dalam berbelanja.
Nasihat baginda kepada ibu bapa
pula agar mereka memberi keutamaan kepada perbelanjaan pendidikan anak-anak.
``Sekiranya mereka mempunyai
pendidikan yang seimbang dan berjaya dalam akademik, insya-Allah sejahteralah
kehidupan mereka pada masa akan datang sebagai warisan bangsa yang berwawasan
dan berakhlak mulia.''
Kepada golongan muda pula
baginda menasihati supaya mereka menghormati orang tua terutama ibu bapa kerana
tanpa mereka tidak akan mereka lahir ke dunia ini.
Keruntuhan moral di kalangan
remaja, selalu sahaja disebut oleh baginda. Titahnya menggesa gejala yang
ketara itu hendaklah dibendung dan ditangani dengan bijak dan adil bagi
memastikan ia terkawal.
``Beta mahu ibu bapa supaya
kembali ke cara tradisi sebagai pendidik, pencipta dan pengeluar nilai-nilai
murni kepada anak-anak.''
Sungguhpun baginda seorang raja
yang aktif mengambil tahu hal ehwal negara dan rakyat, sangat pemurah dan
penderma, namun Yang di-Pertuan Agong sebenarnya seperti manusia biasa yang
tidak lepas daripada masalah kesihatan.
Baginda pernah gering dan
diberikan rawatan rapi kerana masalah jantung sewaktu berehat di Amerika
Syarikat pada November 1994. Baginda berada dalam keadaan tenat ketika di sana
setelah jantung yang mengalami pembedahan pintasan koronari di Florida
berfungsi lemah. Selain menghidapi penyakit jantung, baginda juga menghidap
beberapa penyakit lain termasuk kencing manis.
Dalam temu ramah dengan Utusan
Malaysia enam tahun lalu, Almarhum berbicara mengenai ramai kawannya yang sudah
meninggal dunia.
``Yang tinggal saya dan (bekas
menteri Tan Sri) Khir Johari. Tinggal kami berdua sahaja. Kawan-kawan lain dah
tak ada. Saya sedar masa untuk saya juga akan tiba,'' titah baginda.
Selepas enam tahun pulih
daripada masalah kesihatan, penyakit lemah jantung Almarhum kembali serius
sejak 6 Oktober lalu. Selama dua bulan Almarhum gering dan mendapatkan rawatan
rapi di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan kemudian di Pusat Perubatan Gleneagles
Intan, Kuala Lumpur. Seri Paduka mangkat semalam bersamaan 5 Ramadan.
Yang di-Pertuan Agong yang
ke-11 dan Sultan Selangor yang kelapan ini meninggalkan banyak kenangan dan
nasihat berguna untuk semua rakyat Malaysia.
Semoga Allah mencucuri rahmat
ke atas Almarhum.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4bpRYNnug
© Utusan Melayu (M) Bhd