Selasa, 4 April 2017

Ali Bakar selamat dikebumikan



ARKIB : 18/08/2003
JENAZAH bintang bola sepak negara era 70-an, Ali Bakar, 56, selamat dikebumikan dalam suasana pilu di tanah perkuburan Islam, Jalan Perak di Pulau Pinang, petang semalam, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM.

Jenazah Allahyarham yang dibawa dengan pesawat Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kira-kira pukul 5 petang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Kampung Rawana untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 7 petang ini.

Pemergian Al-lahyarham yang mula mewakili negara pada tahun 1970 bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga dan sanak saudara malah turut dirasai oleh rakan seangkatannya dalam bola sepak serta penduduk di sekitar Kampung Rawana.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Sharifah Bee, 46, dan tiga orang anak iaitu Ahmad Salimi, 24, Azhani Shafirah, 20, dan Ahmad Sarafi, 17.

Majlis pengkebumian Allahyarham yang disertai lebih 500 orang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akhbar Khan.

Selain itu rakan sepejuangannya dalam pasukan kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun, Ibrahim Maiden, Looi Loon Teik, Mohd. Bakar, Namat Abdullah dan Santokh Singh turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Anak sulung Allahyarham, Ahmad Salimi memberitahu, bapanya tidak menunjukkan sikap aneh atau perangai pelik sebelum kematiannya.

``Cuma bapa ada menghubungi emak sebelum perlawanan bermula. Dia (bapa) memberitahu hendak bermain bola,'' katanya.

Dalam pada itu, menurut Dell, kehilangan Allahyarham pasti dirasai oleh peminat bola sepak di negara ini khususnya Pulau Pinang.

``Allahyarham seorang yang baik dan mudah didekati. Apabila kita memerlukan pertolongan, dia tidak keberatan untuk membantu,'' katanya.

Beliau menambah, persatuan bekas pemain antarabangsa menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,000 untuk keluarga Allahyarham.

``FAM juga akan berbuat demikian dan jumlahnya akan ditentukan sedikit masa lagi,'' katanya.

Dalam pada itu, Chin Aun berkata, sebelum perlawanan, dia tidak menunjukkan sebarang tanda seorang yang sakit.

Bagaimanapun selepas beberapa minit perlawanan iaitu ketika pasukan negara dalam usaha mengatur serangan, dia tiba-tiba rebah.

``Sejak mengenalinya, dia seorang pemain tengah yang baik. Dia bukan seorang yang pemarah atau pembengis,'' katanya.

Allahyarham meninggal dunia selepas rebah di padang ketika beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Tabung Amal Bekas Pemain-pemain Malaysia-Singapura di Stadium Tampines, Singapura, kelmarin.

Difahamkan Allahyarham hanya sempat beraksi selama empat minit sebelum tiba-tiba jatuh dan pengsan dalam perlawanan itu yang bermula pukul 8 malam.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Timbalan Penguasa Penjara di Bandar Hilir, Melaka rebah di hadapan bekas pemain Kuala Lumpur dan Singapura, Malek Awab. Turut beraksi bersama Allayarham pada perlawanan itu ialah adiknya Isa, Chin Aun, Datuk M. Chandran dan Shukor Salleh.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dHMSVZII
© Utusan Melayu (M) Bhd

1 ulasan: